Refleksi PBS 3 (PdP BM Abad Ke-21)
- Mohamad Saad
- May 14, 2017
- 4 min read
Pada 13 hingga 17 Mac 2017 yang lalu, saya telah melaksanakan program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) Fasa 3 di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan. Sepanjang pelaksanaannya, saya telah membuat pemerhatian untuk tugasan yang telah diberikan berkaitan dengan amalan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 dan bilik darjah abad ke-21 di sekolah tersebut.
Menurut Sukiman, Shah & Uzi, sistem pendidikan abad ke-21 berperanan sebagai perintis kepada transformasi sosial yang akan melahirkan masyarakat berfikir. Masyarakat berfikir yang dimaksudkan ialah masyarakat yang berwibawa, produktif, optimistik kepada perubahan, berfikiran jauh dan bersifat futuristik. Hal ini juga merangkumi nilai intelektual dan moral yang unggul. Melahirkan masyarakat berfikir perlu dijadikan landasan perubahan sosial bagi menghadapi kemajuan dan cabaran gelombang perubahan global abad ke-21.
Selaras dengan itu, pelaksanaan pembelajaran dan pembelajaran (PdP) abad ke-21 adalah tepat. Hal ini membolehkan matlamat untuk melahirkan masyarakat yang berfikir dapat dicapai. Bukan itu sahaja, kemenjadian murid turut dapat dilihat daripada perkembangan kebolehan murid sejak dari zaman persekolahan. Antara aspek yang dititikberatkan dalam melaksanakan PdP abad ke-21 ialah membangunkan persekitaran bilik darjah Abad ke-21, meningkatkan kemahiran guru menggunakan pedagogi Abad ke-21, memberi kemahiran pembelajaran abad ke-21 kepada murid-murid dan membudayakan amalan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) sebagai strategi pelaksanaan Pembelajaran Abad Ke-21 di sekolah.
Jelas dapat dilihat di SK Ahmad, Pekan telah melaksanakan PdP abad ke-21 dengan baik. Aspek yang paling jelas adalah persekitaran bilik darjah yang mengikut spesifikasi yang jauh lebih ke hadapan. Meja belajar murid disusun secara berkumpulan dengan bentuk-bentuk yang menarik. Kepelbagaian bentuk susunan ini mencerminkan keselesaan murid ketika proses PdP dijalankan. Fokus bilik darjah abad ke-21 adalah kepada murid agar mereka dapat mengalami persekitaran yang sebenar (Sani, 2005). Suasana atau iklim bilik darjah dapat merangsang murid untuk bersaing, belajar secara koperatif dan memperoleh kemahiran kolaboratif.
Kolaboratif kurikulum berasaskan projek yang digunakan di beberapa kelas di sekolah ini membangunkan kemahiran berfikiran aras tinggi, kemahiran komunikasi yang berkesan, dan pengetahuan teknologi yang murid perlu di tempat kerja dalam abad ke-21. Pembelajaran kolaboratif adalah situasi dua atau lebih manusia belajar bersama-sama (Bruffee, 1993 dalam Omar, 2005). Menurut Dillenbourgh (1999) pula dalam Omar (2005) kolaboratif melibatkan perkongsian maklumat kemahiran dan idea untuk kemajuan bersama. Pembelajaran kolaboratif juga merupakan ciri-ciri dalam Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) yang perlu diterapkan dalam PdP.
Di samping itu juga, peranan guru dalam bilik darjah juga memainkan peranan yang sangat tinggi agar objektif PdP dapat dicapai oleh murid dengan baik. Kaedah pengajaran kolaboratif dikenal pasti memenuhi ciri-ciri pembelajaran abad ke-21 seperti pembelajaran koperatif, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah, inkuiri penemuan dan pembelajaran berasaskan modul. Menerusi kaedah-kaedah ini, komunikasi dan interaksi antara guru dan murid dan interaksi antara murid dan murid serta murid dengan bahan membantu murid membina pengetahuan dan meneroka pengetahuan yang diperoleh.
Antara kaedah pengajaran yang dapat diperhatikan di SK Ahmad adalah inkuiri penemuan. Hal ini demikian kerana terdapat sebilangan guru yang menjalankan PdP di luar bilik darjah. Kaedah ini dapat mengukuhkan kefahaman murid terhadap konsep yang dipelajari di dalam kelas, memberikan pengalaman pembelajaran dalam situasi yang sebenar, bermakna dan menyeronokkan. Penglibatan murid yang aktif dapat dilihat menerusi komunikasi secara berkumpulan untuk mendapatkan keputusan yang terbaik untuk kumpulan.
Dengan melaksanakan kaedah ini juga, kumpulan murid dibentuk secara fleksibel mengikut keperluan individu adalah norma (Siew Heng Loke, Abu, Lee Siew Eng, Sandiyao & Adelina, 2005). Guru masih menggunakan arahan kepada kumpulan keseluruhan. Guru menilai keperluan pengajaran kepada murid dan gaya pembelajaran dan kemudian memanfaatkan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi memenuhi keperluan semua murid di dalam kelas.
Seterusnya, dalam konteks pendidikan juga menekankan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Hal ini kerana dengan wujudkan TMK, pengajaran guru dapat dipermudahkan. Pelajar pada abad ke-21 ini berada dalam gelombang teknologi yang sangat pesat. Dengan itu, hasil daripada pemantauan saya mendapati bahawa sekolah ini juga menyediakan papan pintar atau ‘smart board’ dalam menggalakkan penglibatan murid dalam PdP. Meskipun hanya beberapa bilik darjah sahaja yang diperuntukkan dengan papan pintar ini, namun penggunaannya dimanfaatkan seoptimumnya.
Menurut Zainuddin (2008), rata-rata pakar pendidikan bersetuju bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu berubah sesuai dengan perkembangan teknologi siber dan akses kepada internet yang semakin maju. Kaedah pengajaran konvensional seperti “chalk and talk” semata-mata kurang berhasil menarik minat murid sebaliknya memerlukan kaedah yang lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan pengajaran yang relevan sesuai dengan perkembangan semasa. Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini memerlukan guru yang kreatif, koperatif dan kolaboratif semasa mengajar sesuai dengan ciri-ciri pembelajaran abad ke-21 iaitu komunikasi, kolaborasi, kemahiran kritis dan kreativiti.
Lebih istimewa lagi apabila sekolah ini juga mewujudkan satu bilik Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang menyimpan hasil BBM yang dihasilkan oleh guru-guru dan staf-staf sekolah. Bilik tersebut juga boleh digunakan oleh guru lain untuk menjalankan PdP. Dengan ciri-ciri kepelbagaian kegunaan yang terdapat pada BBm yang dihasilkan, maka tidak hairanlah setiap guru boleh menggunakan BBm yang sama untuk mata pelajaran yang berbeza dan cara yang berbeza. Dengan ini, penjimatan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah sangat menguntungkan kepada guru-guru dan murid-murid.
Kesimpulannya, dalam melahirkan murid yang produktif, mereka mesti bergerak di luar kemahiran yang sedia ada dan menguasai perkara-perkara baru. Guru-guru perlulah bijak dalam merancang dan melaksanakan dalam membentuk model kepada kemahiran ini di dalam kelas. Ciri-ciri bilik darjah abad ke-21 akan menjadi sangat berbeza daripada dalam bilik darjah yang lalu kerana tumpuan diberikan kepada melahirkan murid yang mempunyai produktiviti yang tinggi, komunikasi yang berkesan, berfikiran kreatif, dan mahir teknologi.
RUJUKAN
Sani Yahaya (2005). Mengurus Disiplin Pelajar. Selangor. PTS Professional
Omar Hashim (1991). Pengisian misi pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian
Pendidikan Malaysia
Siew Heng Loke, Abu Talib Putih, Lee Siew Eng, Sandiyao Sebastian & Adelina Asmawi
(2005). Siri Panduan Guru Pedagogi Merentas Kurikulum. Pahang. PTS Publication
Sukiman Saad, Shah Saad, Uzi Dollah. Pengajaran Kemahiran Berfikir: Persepsi Dan
Amalan Guru Matematik Semasa Pengajaran Dan Pembelajaran Di Bilik Darjah. Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia Vol.2 No.1 Issn 2232-0393
Zainuddin Abu Bakar (2008). Kemahiran ICT di kalangan guru pelatih IPTA Malaysia.
Selangor. Arah Pendidikan Sdn Bhd
Comments